JKKP Bimbang Lif, Eskalator Ancam Keselamatan

JKKP Bimbang Lif Eskalator Ancam Keselamatan

KUALA TERENGGANU 30 Mei – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu bimbang dengan kegagalan pemilik premis menyelenggara lif dan eskalator masing-masing sehingga boleh mengancam ke­selamatan orang ramai.

Pengarahnya, Ir. Dasuki Mohd. Heak berkata, meskipun sehingga kini tiada kes kemalangan membabitkan penggunaan lif dan eskalator di negeri ini namun, pihak terbabit khususnya pemilik premis atau bangunan kerajaan, swasta serta pusat beli-belah perlu sentiasa peka bagi memastikan keselamatan terjamin.

Beliau menjelaskan, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan para pemilik premis berkenaan termasuk menjalankan pemeriksaan ke atas lif dan eskalator dari semasa ke semasa.

“Jika kita dapati tidak selamat digunakan dan boleh mengancam keselamatan orang ramai, kita arahkan dihentikan operasi (lif dan eskalator). Kalau rosak, ia perlu ditukar dan diganti baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Lif dan Eskalator Negeri Terengganu di PB Square di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengarah JKKP negeri, Sarimah Awang.

Dasuki berkata, sehingga kini pihaknya telah memeriksa lif di beberapa bangunan kerajaan dan pusat beli-belah di negeri ini antaranya Wisma Persekutuan, Wisma Negeri, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), kompleks Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam), TH Hotel serta pasaraya Mydin.

Ujarnya, beberapa lif yang terdapat di HSNZ dan Wisma Negeri sedang dalam proses diganti baharu dan setiap lif menelan kos antara RM100,000 hingga RM300,000, bergantung kepada kualiti dan kelajuan.

Selain itu, beliau turut menarik perhatian, pada masa ini terdapat 650 lif dan 95 eskalator di Terengganu dan daripada jumlah itu, 553 unit lif dan 69 eskalator didapati aktif, manakala sehingga April tahun ini, JKKP Terengganu telah memeriksa sebanyak 151 lif dan 23 eskalator.

Sumber : Utusan Melaysia

  • Hits: 559
Occupational Safety, Health and Environment Office,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia,
86400 Parit Raja, Batu Pahat, Johor
Phone: +6 (07) 453 7228 / 7732
Fax: +6 (07) 453 7639
email: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

"Safety Starts Here"