JAWATANKUASA KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN UTHM


Akta & Peraturan

AKTA KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN (AKTA 514)

Seksyen 30. Penubuhan jawatankuasa keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
(1) Tiap-tiap majikan hendaklah menubuhkan jawatankuasa keselamatan dan kesihatan di tempat kerja mengikut seksyen ini jika —
(a) terdapat empat puluh orang atau lebih diambil kerja di tempat kerja ; atau
(b) Ketua Pengarah mengarahkan penubuhan jawatankuasa sedemikian di tempat kerja.

(2) Keanggotaan jawatankuasa keselamatan dan kesihatan yang ditubuhkan di bawah subseksyen(1), pemilihan atau perlantikan orang-orang ke jawatankuasa itu, kuasa anggota anggota jawatankuasa itu dan apa-apa perkara lain yang berhubungan dengan penubuhan atau prosedur jawatankuasa itu hendaklah sebagaimana yang ditetapkan.

(3) Tiap-tiap majikan hendaklah berunding dengan jawatankuasa keselamatan dan kesihatan itu dengan tujuan untuk membuat dan menyenggarakan perkiraan yang akan membolehkannya dan pekerja-pekerjanya bekerjasama dengan berkesan dalam menggalakkan dan membangunkan langkah-langkah untuk mempastikan keselamatan dan kesihatan pekerja-pekerja di tempat kerja, dan dalam mengukur keberkesanan langkah-langkah itu.

(4) Seseorang yang melanggar peruntukan seksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

PERATURAN-PERATURAN KESELAMATAN & KESIHATAN PEKERJAAN (JAWATANKUASA KESELAMATAN & KESIHATAN)
BAHAGIAN II – KOMPOSISI JAWATANKUASA KESELAMATAN & KESIHATAN

Keanggotaan jawatankuasa

5.(1) Sesuatu jawatankuasa keselamatan dan kesihatan hendaklah terdiri daripada –
(a) seorang pengerusi;
(b) seorang setiausaha;
(c) wakil-wakil majikan; dan
(d) wakil-wakil pekerja.

(2) Jika terdapat satu ratus orang atau kurang yang diambil kerja di tempat kerja, maka hendaklah ada tidak kurang daripada dua orang wakil pekerja dan dua orang wakil pengurusan dalam jawatankuasa; dan jika terdapat lebih daripada satu ratus orang yang diambil di tempat kerja, maka hendaklah ada tidak kurang daripada empat orang wakil pekerja dan empat orang wakil pengurusan.

Pelantikan pengerusi dan setiausaha jawatankuasa

6.(1) Seseorang majikan atau pengurusnya yang diberikuasa hendaklah menjadi pengerusi jawatankuasa keselamatan dan kesihatan.

(2) Setiausaha jawatankuasa hendaklah orang yang diambil kerja sebagai pegawai keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

(3) Jika tiada orang yang diambil kerja sebagai pegawai keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, pengerusi boleh melantik seorang yang lain untuk bertindak sebagai setiausaha jawatankuasa atau anggota-anggota boleh, dengan undi sulit, melantik setiausaha jawatankuasa daripada kalangan mereka sendiri.

Dasar Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan
Adalah menjadi DASAR Universiti Tun Hussein Onn Malaysia untuk menyediakan, setakat yang praktik, persekitaran premis / tempat kerja yang selamat, keadaan yang sihat, selesa serta kebajikan kepada semua pekerja dan pelanggannya.
Untuk melaksanakan DASAR ini dengan jayanya, pihak pengurusan mempunyai tanggungjawab untuk: -
1. MEMASTIKAN persekitaran premis tempat dan sistem kerja adalah selamat dan sihat.
2. MENYEDIAKAN kemudahan dan peralatan asas supaya semua tugas harian dapat dijalankan dengan selamat.
3. MENENTUKAN bahawa semua maklumat, arahan, latihan dan penyediaan untuk menjalankan tugas dengan selamat dan tanpa risiko kesihatan disampaikan kepada semua pekerja.
4. MEMENUHI undang- undang, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan semua peraturan dan prosedur yang berkaitan.
Dalam melaksanakan DASAR ini, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia percaya bahawa ia akan menjadi kod amalan standard untuk membantu dan mengamalkan budaya kerja yang selamat dan sihat dengan kerjasama semua pihak.
Occupational Safety, Health and Environment Office,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia,
86400 Parit Raja, Batu Pahat, Johor
Phone: +6 (07) 453 7228 / 7732
Fax: +6 (07) 453 7639
email: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

"Safety Starts Here"